Mata dan Ghaib
Assalamualaikum semua. Saya akan ceritakan bagaimana saya mula boleh melihat benda-benda aneh ni. Semuanya bermula selepas insiden kemalangan, jatuh basikal di kawasan cerun, berbukit, pada 2008 di Jalan Rebong, Kapar. Waktu ni hari raya. Saya tak ingat raya keberapa. Dalam insiden ni, saya tak mahu salahkan sesiapa melainkan ianya adalah aturan takdir dari Allah, yang beri banyak hikmah dan kesedaran pada diri saya, kehidupan saya selepasnya. Mari saya ceritakan selanjutnya.
SEBELUM KEJADIAN
Seingat saya, pergi beraya dekat rumah Shazmira. Kami borak, makan kuih sama-sama. Tapi awal-awal lagi saya dah rasa pelik dengan diri saya sebab terdengar bisikan hangat terkena kat pipi kanan saya. Garau suaranya, hanya sebut "haaaaaaaa...." dengan perlahan. Saya pandang, tapi tak ada sesiapa melainkan rakan-rakan yang ada dekat dengan saya. Saya anggap itu angin walaupun pelik. Kemudian, kami pun bergambar dekat ruang tamu dan juga di luar. Okay, pasal apa yang jadi lepas kami bergambar ni saya akan cerita kemudian. Seterusnya, kami pergi beraya dekat rumah rakan yang lain. Saya pun kurang ingat kat mana, tapi area bukit Kapar lah. Dah selesai beraya tu, dah penatt, dan hampir senja jadi semua nak balik. Kami pergi beraya naik basikal. Saya hanya bonceng dengan adik kawan saya masatu. Kalau tak silap saya, masing-masing tengah fikir nak balik ikut jalan mana. Jadi sorang kawan ni cadangkan turun jalan berbukit ni. Saya memang rasa tak sedap hati , takut , yelah, jalan berbukit. tapi tak layankan sangat, biasalah masih budak mentah lagi tak tahu apa. Jadi kami pun teruskan, semua turun bukit.. Rakan yang lain okay je masa turun tu.
Masa tengah turun bukit tu, saya teringat pesan mak saya, kalau pergi jauh dari Meru, sms atau telefon mak. Saya memang lupa nak bagitahu mak yang saya pergi area Bukit Kapar. Jadi saya pun ambil telefon, taip satu persatu.. "Mak, lupa nak habaq, Dira pergi beraya sampai ke Bukit Kapar. Nanti Dira ba...", tak sempat nak habiskan taip, saya betul-betul dengar bisikan yang saya dengar masa beraya dekat rumah Shazmira. Suaranya kat belakang saya pula, tengah turun bukit naik basikal. Sebelah tangan pegang pinggang adik kepada kawan saya, sebelah tangan lagi pegang telefon. Perlahan-lahan saya pandang belakang, kepulan asap hijau, menyerupai kelibat yang cukup aneh bagi saya, berwarna hijau kelabu macamtu, gaya seakan nak terkam/cekik saya. Terus dekat pada saya dan semuanya gelap.
Dan kemalangan tu berlaku. Saya dan adiknya jatuh basikal.
Kejadian tu berlaku sekelip mata. Saya hanya nampak semuanya putih sahaja. Dan dengar juga suara orang jerit. Rasa badan ringan, macam melayang. Sedangkan orang berdekatan tengah tolong angkat saya bawa masuk kereta.
"Angkat! Angkat dia perlahan-perlahan! Aish! Kepala dia tu! Perlahan-lahan"
"Bawa masuk kereta cepat"
"Jaga-jaga, kepala luka teruk tu"
Itu jer yang saya ingat, dengar walaupun dalam separa sedar. Adik kawan saya tu hanya cedera ringan. Tapi saya cedera di bahagian tangan kanan,siku dan paling teruk di bahagian kepala sampai kena 3 jahitan di Klinik Annur.
Dan semuanya kembali gelap balik. Saya dapat mimpi, dan masa tu , doktor tengah jahit luka di kepala saya rasanya. Saya mimpi di kawasan kejadian tu lah, ada pokok pisang, ada pondok usang. Saya cuma berjalan, dan tiba-tiba menitik darah kat jari saya ni, ada yang memanggil saya. "Nak.. kemari. Ada luka tu", lembut je dia kata. Jadi saya pergi ke arahnya. Bersarungkan kain kosong warna kuning kat kepala, macam orang zaman dulu. Dia balut luka guna kain. tiup lembut. Saya sendiri tak faham apa yang saya mimpi tu. Sampai situ je mimpi saya, rasa macam kena tepuk-tepuk. Saya pun buka mata saya perlahan-lahan, pak cik saya yang saya nampak dulu. dan seterusnya saya hanya berehat beberapa minggu seperti biasa.
SELEPAS KEJADIAN
Masih menunggu keputusan PSRA, kami tetap pergi ke sekolah . Dan kawan saya tunjukkan saya sesuatu. Gambar yang kami tangkap masa pergi beraya, ada muncul satu lagi kelibat orang, tapi tak ada mata, hidung, senang kata serba kosong pada wajahnya. Rambut kerinting tak terurus, tak berbaju, hanya bercelana bawah lutut, macam koyak sikit. Satu gambar beramai tu, saya duduk di hujung sekali. Tapi ada ruang kosong sikit dekat kerusi tu. Terkejut, "dia" duduk di sebelah saya, hampir rapat dengan saya seolah olah dia pun rakan kami.
Gambar yang kedua, kami tangkap di luar rumah. "Dia" berada di belakang saya, macam photoboom pun ada jugak, tiba-tiba ada kepala dia. Memang seram!!
Maafkan saya, lukis tak lawa. tapi lebih kurang macam ni lah gaya dia
Kawan saya takut, dia pun padam gambar-gambar tu semua. Dan kami lalui hidup kami macam biasa.
Tapi saya tidak. Selepas dua minggu , makin hari makin lama, saya nampak beberapa benda yang saya ingatkan orang buang tabiat pakai kostum hantu jalan sana sini.
Selamba jer saya tanya kawan, "Wei, aku dari tadi nampak dia, style la dia pakai kostum. Siap berlubang kat tengah badan macam real. Rambut kusut, tak nampak macam rambut palsu yang kita biasa tengok doo"
Tapi kawan saya ni, muka dia pucat giler. Saya tak rasa takut lagi , sebab mati matian fikir orang berlakon or pakai kostum. Tapi yang saya nampak rupanya bukan manusia. Menyerupai sesuatu yang aneh dan seram. Perlahan-lahan kawan cakap kat saya
"Dira, apa yang kau nampak tu hantu la wei. Tu orang panggil Langsuir."
Ha? Dekat seminggu, saya nampak yang sama saja di kawasan perumahan lain yang saya biasa lalu bila pergi mana2, jalan kaki. Then saya demam beberapa hari. Tak keluar rumah. Nak tidur tutup lampu pun dah tak boleh. Mesti bukak lampu. Pernah ada sesuatu baring sebelah saya, sangat2 menyeramkan. Ada yang selalu lintas lalu depan bilik. Ada yang tanggalkan kepala lepas lalu satu pokok ni, ada yang terbang dan gelak kuat dengan posisi kepala macam patah leher. Ada yang duduk cangkung secara terbalik di penjuru ruang kelas. Seret kaki yang macam patah dan gelak.
Ambil masa beberapa tahun untuk biasakan dan saya hidup dalam ketakutan. dengan masih belasan tahun, yang tak tahu apa-apa. Saya lemah. Saya tak tahu kena buat apa. Merata saya nampak. Saya tak pernah minta untuk nampak aneh2 ni. Saya tak juga "buka" hijab macam ni., Yang seharusnya saya kena lebih dekatkan pada Allah , tapi jiwa masih lemah dan tak melebihkan takut itu pada Allah. Itulah silap saya sebelum ni dan saya akuinya. Alhamdulillah, keluarga memahami dan membantu. Guide saya, nasihat saya, untuk sentiasa ingat pada Allah, jangan takutkan makhluk halus. Apa yang jadi pada saya ada hikmahnya. Makan masa untuk saya faham semua ni, beranikan diri jumpa ustaz untuk tanya kenapa saya macamni. Okay , kita sambung nanti untuk perkongsian seterusnya.
Terima kasih sudi baca. Saya hanya ingin berkongsi, dan moga kita semua meletakkan Allah sebagai yang SATU kita patut taat, takut dan beriman kepadaNya. Semua manusia ada buat silap, maka rebutlah peluang untuk memperbaiki, ubah selagi masih bernafas.
#DeeKongsi
Comments
Post a Comment